Wednesday, February 2, 2011

Cetusan Idea (2)

Pada minggu pertama, para pelajar telahpun diperkenalkan dengan pengertian 'Falsafah' iaitu 'mencintai kebijaksanaan, kesempurnaan dan kehikmahan.' Dengan mempelajari, memahami dan menghayati pengertian 'Falsafah' dan 'Falsafah Pendidikan', para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai dimensi baru dalam disiplin ilmu keguruan. Kefahaman dan penghayatan yang baik dalam disiplin ilmu ini bukan sahaja dapat melahirkan bakal pendidik yang bijaksana, malah kursus ini juga dapat mempertingkatkan kecenderungan mereka untuk melaksanakan pelbagai tugasan dengan lebih sistematik, sempurna dan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh hikmah. Dengan yang demikian, pengamalan budaya ilmu yang cemerlang semasa berkursus di IPG ini akan sentiasa diutamakan.

Dalam konteks pendidikan guru di IPG ini, anjakan paradigma dalam gaya pemikiran amat penting dalam kalangan pelajar PISMP Semester 1. Kursus EDU3101 ini amat perlu dijadikan landasan pertama dan utama untuk membolehkan mereka membuat perubahan diri masing-masing khasnya dalam aspek pemikiran dan dan motivasi diri untuk belajar dengan lebih gigih dan konsisten. Seandainya sebelum ini, para pelajar kurang berminat untuk membaca pelbagai bahan ilmiah yang berkaitan dengan subjek EDU3101, mereka perlu menyahut cabaran ini dengan segera mulai sekarang.

No comments:

Post a Comment