Monday, October 10, 2011

Persediaan untuk Peperiksaan Akhir Semester 2, 2011

Interaksi kuliah EDU3103 (Murid dan Alam Belajar) hanya tinggal 2 minggu lagi, termasuk minggu ini. Sebagai Penyelaras EDU3013, saya sangat berharap agar semua pelajar telah mula membuat ulang kaji untuk subjek ini. Hal ini penting kerana subjek ini mengandungi 2 komponen penting iaitu komponen psikologi pendidikan dan komponen pedagogi. Anda perlu mempelajari, memahami dan mengaplikasikan dengan baik 5 teori pembelajaran iaitu Teori Behaviouris, Kognitif, Sosial, Humanis dan Konstruktivisme sebagaimana yang ditetapkan dalam Kerja Kursus Pendek (KKP). Di samping itu, komponen pedagogi juga amat penting untuk dipelajari dan difahami dengan baik. Misalnya, konsep pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran perlu difahami dengan baik khas agar proses p & p dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Justeru itu, harap jangan tunggu pada saat-saat akhir untuk mengulang kaji subjek ini.

Sunday, October 9, 2011

Panduan Peperiksaan EDU3103

Anda boleh download Panduan Peperiksaan EDU3103 untuk membantu anda membuat ulang kaji subjek ini.

Monday, July 18, 2011

Murid dan Alam Belajar (EDU3103)

Seramai 202 orang pelajar PISMP Semester 2 sedang mengikuti Kursus Murid dan Alam Belajar pada semester ini (Jun - November 2011). Pada minggu ini, 18 hingga 22 Julai 2011 telah masuk minggu ke-5 kursus ini dilaksanakan pada semester ini. Interaksi kuliah selama 2 jam dan tutorial 1 jam seminggu. Di samping itu, pelajar perlu menggunakan masa 2 jam seminggu (di luar jadual waktu rasmi) untuk melaksanakan ISL. 

Sunday, February 13, 2011

Cetusan Idea EDU3101

Anda boleh download Cetusan Idea ini untuk dijadikan panduan dan rujukan.

Saturday, February 12, 2011

Jadual Kehadiran Praktikum

Guru pelatih perlu melengkapkan Jadual Kehadiran Praktikum pada setiap awal bulan kepada Unit Praktikum IPG KTB untuk direkodkan. Disertakan jadual tersebut untuk tindakan anda.

Wednesday, February 2, 2011

Cetusan Idea (1)

Kursus Pengajian Profesional (EDU) ialah kursus teras yang wajib diikuti oleh semua pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Pada semester ini, terdapat 2 kursus EDU yang ditawarkan iaitu Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (EDU3101) dan Perkembangan Kanak-kanak (EDU3102).


Kursus EDU3101 ialah kursus pengenalan yang sangat penting ke arah penerokaan bidang pendidikan guru yang sangat luas dan mencabar. Diharapkan agar kursus ini mampu menggerakkan motivasi belajar dan menyuntik semangat pelajar untuk memperlengkap diri dengan ilmu keguruan sama ada secara teori ataupun praktikal. Masa yang diperuntukan untuk kursus ini ialah 30 jam kuliah dan 15 jam tutorial (3 kredit).


Hasil Pembelajaran (HP) EDU3101 adalah seperti berikut:
1. Menghuraikan sejarah perkembangan sistem pendidikan di Malaysia
2. Menilai implikasi perkembangan Falsafah Pendidikan Islam, Timur dan Barat terhadap
    pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
3. Menjelaskan kandungan kurikulum dan pelaksanaan KBSR
4. Mengamal dan menghayati prinsip-prinsip dan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan
    (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dalam perkhidmatan perguruan
5. Menghargai perjuangan insan guru dengan mengamalkan budaya kerja guru sebagai ibadah

Cetusan Idea (2)

Pada minggu pertama, para pelajar telahpun diperkenalkan dengan pengertian 'Falsafah' iaitu 'mencintai kebijaksanaan, kesempurnaan dan kehikmahan.' Dengan mempelajari, memahami dan menghayati pengertian 'Falsafah' dan 'Falsafah Pendidikan', para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai dimensi baru dalam disiplin ilmu keguruan. Kefahaman dan penghayatan yang baik dalam disiplin ilmu ini bukan sahaja dapat melahirkan bakal pendidik yang bijaksana, malah kursus ini juga dapat mempertingkatkan kecenderungan mereka untuk melaksanakan pelbagai tugasan dengan lebih sistematik, sempurna dan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh hikmah. Dengan yang demikian, pengamalan budaya ilmu yang cemerlang semasa berkursus di IPG ini akan sentiasa diutamakan.

Dalam konteks pendidikan guru di IPG ini, anjakan paradigma dalam gaya pemikiran amat penting dalam kalangan pelajar PISMP Semester 1. Kursus EDU3101 ini amat perlu dijadikan landasan pertama dan utama untuk membolehkan mereka membuat perubahan diri masing-masing khasnya dalam aspek pemikiran dan dan motivasi diri untuk belajar dengan lebih gigih dan konsisten. Seandainya sebelum ini, para pelajar kurang berminat untuk membaca pelbagai bahan ilmiah yang berkaitan dengan subjek EDU3101, mereka perlu menyahut cabaran ini dengan segera mulai sekarang.

Cetusan Idea (3)

Pada pelajar perlu membaca sebanyak mungkin pelbagai bahan rujukan sama ada yang bercetak atau berbentuk elektronik (softcopy) yang berkaitan dengan EDU3101 khasnya yang terdapat di Pusat Sumber IPG KTB. Di samping itu, para pelajar juga perlu melayari laman-laman web yang telah dicadangkan oleh pensyarah atau yang berkaitan di dalam internet.  Saya berasa amat yakin dan percaya bahawa sesi-sesi tutorial kursus ini akan lebih menarik dan menyeronokkan seandainya banyak maklumat terkini dan penting dapat diperbincangkan dan dikongsi bersama dengan rakan-rakan pelajar.

Peruntukan masa untuk ISL (Independent Student Learning) selama 2 jam seminggu untuk kursus ini amat perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar semua tugasan tutorial dapat disempurnakan dengan baik. Semua bahan rujukan yang relevan yang diperoleh daripada pelbagai sumber perlu dicetak dan disimpan secara sistematik di dalam Folder EDU3101. Folder tersebut akan disemak oleh pensyarah mulai minggu ke-7.

Saya sebagai Penyelaras EDU3101 untuk semester 1 ini amat berharap agar anda semua bergembira mengikuti kursus ini sehingga akhir semester ini dan memperoleh banyak faedah dan manfaat daripada kursus ini.
Selamat Maju Jaya