Saturday, May 17, 2014

Peperiksaan Mei 2014

Peperikaan Mei 2014 akan berlangsung pada 19 hingga 25 Mei 2014. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar 2PISMP PMPJ, MUBHS dan PT yang telah berjaya menyempurnakan 45 jam kuliah dan 15 jam tutorial untuk Kursus EDU3103 Murid dan Alam Belajar.

Diharapkan agar para pelajar telahpun bersedia dari segi kognitif, afektif dan psikomotor untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Sekiranya proses pembelajaran dilaksanakan dengan baik, teliti dan sistematik, harapan untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang memang cerah. Aplikasikanlah segala ilmu dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan sebaik-baiknya semasa menjawab soalan-soalan peperiksaan. Berikut diberikan beberapa panduan yang dapat membantu anda menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti: 

1. Baca soalan-soalan struktur dan esei dengan teliti iaitu sekurang-kurangnya 3 kali. Fahamilah kehendak tugasan soalan yang mungkin memerlukan anda menjawab 1 atau 2 tugasan dalam satu soalan esei. 

2. Gariskan kata kunci yang penting agar kata kunci tersebut menjadi panduan kepada anda untuk merangka fakta-fakta penting untuk menjawab soalan dengan tepat. 

3. Senaraikan sekurang-kurangnya 5 fakta penting untuk soalan esei. Pilih 3 fakta penting yang terbaik untuk dihuraikan dengan mantap dalam jawapan anda. Sekiranya masih ada masa, mungkin ada boleh tambah 1 fakta lagi untuk dihuraikan agar jawapan anda sempurna,jelas dan mantap. 

 4. Soalan yang berada pada Aras Kesukaran 5 (Menilai) boleh disertakan dengan pelbagai cadangan penambahbaikan untuk memenuhi kriteria Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK). 

5. Soalan yang berada pada Aras Kesukaran 6 (Mencipta) memerlukan anda mengemukakan pelbagai idea yang bernas, jitu, asli dan matang agar permasalahan yang terdapat dalam soalan itu dapat diatasi dengan berkesan. 

6. Anda perlulah menyemak setiap jawapan anda dengan teliti agar tiada sebarang kesilapan tatabahasa yang sangat ketara. 

7. Akhir sekali, sediakan rumusan atau kesimpulan untuk setiap jawapan anda untuk membuktikan bahawa anda benar-benar memahami kehendak tugasan soalan yang berkenaan. 

Peperiksaan untuk Kursus EDU3103 (Murid dan Alam Belajar) ialah pada 19 Mei 2014, jam 2.00 hingga 4.30 petang bertempat di Dewan Aminuddin Baki (DAB). 

Selamat menduduki Peperiksaan Mei 2014 dan didoakan agar anda semua memperoleh kejayaan yang cemerlang. 

Sekian, terima kasih.

Daripada: 
Penyelaras EDU3103, Jabatan Ilmu Pendidikan, IPG Kampus Tuanku Bainun (18.5.2014)